Dec 31, 2011

Ain: Cabaran 50 Buku : (50) Contengan Jalanan


Tajuk buku : Contengan Jalanan
Penulis : Hlovate
Keluaran : Jemari Seni


Ulasan Ain Sabrina :

Ada dua kisah dalam novel ini. Kisah pencarian makna hidup dalam diri Fend dan K². Bermula dengan kisah Fend. Dia lelaki biasa , ada kawan yang mempunyai sama minat juga ada keluarga dan saudara. Dalam erti kata mudah , seperti tiada yang kurang dalam kisah hidup Fend. Namun , Fend masih tidak puas , seakan ada benda yang hilang dalam hidupnya. Rasa itu makin selepas dia dipertemukan dengan Lia dan Dvd 11th hour. Benda itu dia luahkan pada Chad , sepupunya. Perbincangan mengenai kehidupan dan matlamat hidup semakin banyak dibahaskan. Namun tiada perubahan , rasa hilang itu masih ada.

Chad memulakan langkah pencarian yang ‘hilang’ itu dengan mengajak Fend ke Australia. ‘Percutian’ ke Australia itu ternyata berbeza. Masjid-hopping itu cara Chad untuk mencari erti hidup dan Fend hanya mengikut tanpa bantahan. Mula-mula kekok namun semua seakan kena. Iktikaf , itu yang mereka buat.

Amalan-amalan ibadah yang sebelum ini susah nak dibuat atau tidak pernah dijadikan ritual , seakan menjadi amalan wajib di sana. Dan Chad mahupun Fend tidak mahu ketinggalan dalam mengejar menaiki tangga ke syurga ALLAH. Dan dengan itu , ibadah jadi ringan dan mereka seakan-akan berlumba-lumba ke arah yang sama , iaitu mencari reda ALLAH.

Dan akhirnya mereka jumpa benda yang ‘hilang’ itu , mereka jumpa erti hidup mereka. Pelik , di negara yang bukan agama rasminya Islam , namun Islamnya lebih terasa.

Dan pengakhirannya kisah Fend , ada kisah sedih yang mendatang. Fend seakan hilang bahu untuk bergantung dan belakang untuk bersandar. Dan dia seakan merasa tanggungjawab untuk membawa K² ke arah jalan dan pemikiran yang sama seperti mana dia dan Chad.

Kisah K² bermula selepas itu. Dvd 11th hour selamat dia tonton , namun rasa yang dia rasa tak sama sepertimana Fend rasa. Namun Fend tidak kenal erti putus asa walaupun pada awalnya dia turut kecewa dengan respon K². Lalu sekali lagi Fend membuat ‘percutiannya’ ke Australia namun kali ini ditemani K². Tiada lagi Chad di sisi. Hati K² masih tidak disapa rasa yang sama dengan Fend. Pulangnya K² ke Malaysia , tiada perubahan. Namun serba sedikit dia seakan faham apa yang ingin disampaikan Fend.

Walaupun itu , dia terasa itu bukan dunia dia , dia terasa seperti seorang hipokrit.

Kerana pertemuan dengan Bapa Tono di Autralia , dia terasa seakan terpanggil-panggil untuk ke Jakarta. Negara jiran serumpun sebahasa namun ternyata banyak bezanya. Dunia Indonesia mengajar dia tentang kehidupan , susah dan senang. Dan dunia Indonesia juga menemukan dia dengan erti hidup sepertimana yang dirasa Chad dan juga Fend.


Komen Ain Sabrina :

Bagi saya , novel ini adalah novel yang paling berat yang pernah saya baca buat masa ini. Berat dalam definisi kamus saya adalah kerana terlalu banyak falsafah hidup juga ajaran agama cuba diterapkan Hlovate buat pembaca. Berat bagi saya adalah apabila saya mengambil masa berminggu untuk habiskan setiap helaian dalam novel ini.

Kisah Fend , Chad dan kisah K² adalah kisah kita , kisah manusia yang mencari erti hidup , itu fitrah manusia. Dalam masa kita manusia yang kebanyakkan bencikan peraturan hidup namun fitrah kita juga yang memerlukannya.

Fend , wataknya adalah watak remaja kebanyakkan. Pelajar yang hidupnya berlatarkan buku , belajar , assignment , kawan-kawan dan muzik. Remaja kebanyakkan yang hidupnya banyak mengenai dunia dan diselitkan amalan untuk akhirat yang tidak begitu terjaga. Fend bukan remaja atau manusia jahat yang berbuat onar di dunia , namun dia juga bukan manusia baik yang amalan ibadahnya terjaga. Dia seperti remaja kebanyakkan namun dia masih tidak tenang , masih mencari yang ‘hilang’. Dan pastinya yang ‘hilang’ itu adalah fitrah manusia yang perlukan DIA dan inginkan DIA dalam hidup sentiasa.

Kisah pencarian Fend , Chad dan K² membuatkan pembaca turut sama mencari erti hidup. Perubahan mereka sedikit demi sedikit turut sama memberi motivasi kepada pembaca untuk turut sama berubah. Manusia ini mudah alpa , perlukan pengerak dan kawan ternyata salah satu pengerak yang baik. Itu yang cuba dijalankan Fend buat K². Walaupun lambat prosesnya , namun akhirnya berjaya. Semangat Fend ini perlu kita ‘curi’ untuk diri kita sendiri dan juga buat saudara semuslim kita.

Kisah 11th hour : “ The man who decided to change his life on the 12th hour dies on the 11th .” Saya tidak pernah tengok tetapi namun daripada ayat di atas , kita dapat memahami sekilas apa yang ingin disampaikan dalam kisah 11th hour itu. jadi , mari berubah !!! ^^

Yang menarik lagi , mengenai buku ini , setiap pengakhirannya bab itu ada falsafah yang ingin disampaikan Hlovate. Ayatnya pendek namun ada kalanya ‘terkena’ sendiri. ^^


Beberapa kata-kata di akhir bab yang saya suka :

“ Yang nyata , kasih sayang memang melengkapkan bahagia. Tidak kisahlah dalam bentuk apaatau daripada siapa “

“ Cukupkah sekadar harta , kerja dan keluarga jadi sebab untuk berputih mata kalau hajat itu yang tak tercapai sebelum tinggalkan dunia? “

“ Hidup di dunia ini seperti perjalanan yang terlalu panjang dan terlalu banyak perhentian sementara , hingga kadang-kadang terlupa sebenarnya diri ni nak ke mana”

“ Peluang yang ada dalam hidup ini sama juga macam kereta api , perlu digapai waktu dia sekejap terhenti depan diri. Terlewat sesaat , makan asap “

“ Kena merancang masa depan kalau nak senang. Tapi duit itu bukan dibuat kiblat , hanya dibuat alat.”

“ kalau ada kemahuan dan usaha , ‘halangan’ adalah satu perkataan yang tak ada makna apa-apa”

“ masalah takkan hanya selesai dengan main falsafah “ – ini yang paling terkena (= =’)

“ hidup takda cita-cita tu namanya hidup sia-sia”

Dan banyak lagi, dah tak sanggup nak menaip . (>_<)

Lagi satu muka depan ( ada muka depan ke? ^^) novel ini sangat menarik. Memang lain dari yang lain. Tidak tahu dimana satu muka depan buku ini sepatutnya.

---
Ain Sabrina

0 comments: