Dec 16, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (51) Sang Pencerah

Judul : Sang Pencerah
Penulis : Akmal Nasery Basral
Terbitan : Mizan Pustaka
ISBN : 978-797-433-596-3




1. Kisah pendiri Muhammadiyah, sebuah organisasi Islam yang besar di Indonesia.

2. Yang sedari kecilnya bersuara lantang menentang sekalian tradisi bangsa yang kelihatan amat menyulitkan umat Islam.

3. Kiai Ahmad Dahlan telah lahir dan membesar di dalam lingkungan masyarakat yang begitu taksub serta taat kepada amalan tradisi, sehinggakan para ahli agama yang lainnya juga turut sama ketaksuban, mengakibatkan rakyat umumnya bahkan menganggapkan tradisi itu sudah menjadi suatu kewajiban pula.

4. Beliau cuba mencari di mana logiknya segala tradisi yang diamalkan, namun suaranya sering dihilangkan oleh 'pencinta-pencinta' tradisi itu yang terdiri dari kalangan kiai, walaupun ia telah jelas terkeluar dari ajaran agama Islam.

"Tapi menurut saya ruwatan seperti ini mubazir saja, membuang-buang dana." ms 75

5. Kali pertama membaca novel ini saya berasa seronok dan terus mencari filemnya di youtube. Sambil membaca sambil saya semak filemnya. Sehingga saya perhatikan novel dan filem tak banyak yang beza. Apa yang ditulis, begitu yang dilakonkan. Apa yang dilakonkan, begitu juga yang dituliskan.

6. Walaupun penulisnya, Akmal Nasery Basral menyatakan ia adalah beda dari filem, namun saya berasa sebaliknya. Lalu saya tidak lagi menonton sambil membaca. Saya usahakan untuk menghabiskan novelnya terlebih dahulu, sebelum menonton di youtube untuk menjelaskan lagi visual yang telah direka saat membaca.

7. Keseluruhannya novel ini menarik. Perkara taksub kepada tradisi ini tidak hanya berlaku pada zaman lampau, malahan turut berlanjutan sehingga ke hari ini.

8. Berapa banyak orang yang melemparkan tuduhan sesat, wahabi, syiah, kepada teman seagama hanya lantaran pendapat mereka kedengaran asing, serta tidak berpijak dan selari dengan pegangan yang telah dipegang semenjak zaman datuk neneknya.

9. Sesuai dengan judul, novel ini sangat mencerahkan fikiran seusai membacanya.

10. Saya tertarik pada kenyataan seorang kiai di dalam novel ini yang begitu mempertahankan tradisi. Katanya selagi tradisi itu tidak terkeluar dari agama Islam, apa salah diteruskan. Bahkan kalau tidak selari pun (seperti soal arah kiblat) itu hanya perkara remeh-temeh. Mereka seharusnya lebih menumpukan kepada perkara yang lebih besar ketika itu, seperti membebaskan bangsa dan negara dari penjajah. Masyarakat harus disatukan, bukan dipecahbelahkan dengan membawa hal tradisi yang tetek-bengek.

11. Tapi bagi Kiai Dahlan, beliau punyai pandangan tersendiri. Kerana menurutnya umat Islam akan menjadi kuat apabila mereka bersatu dalam mentaati perintah Tuhan, bukan mencampurkannya dengan perkara adat dan tradisi yang tidak bersangkutan dengan agama. Perlu ada pencerahan untuk menjelaskan perkara ini kepada khalayak.

12.Keseluruhannya novel yang tebal ini tidak terasa kelelahan membacanya, menarik dan perasaan ingin tahu itu menolak-nolak untuk diteruskan bacaan. Jika berpeluang berjumpa dengan novel ini, bacalah. Atau jika tidak, tonton sahaja filemnya. Semoga bermanfaat.

---
Melihat Buku

0 comments: