Tajuk: Sayangku Casper
Penulis: Mazni Aznita
Penerbit: Buku Prima ( Cetakan 1, 2 2011)
613 Mukasurat
Harga: RM25.90 (SM)/ RM28.90 (SS)
Walaupun hampir tidak berkesempatan membuat ulasan novel ( walaupun sudah beberapa buah dibaca ) sepanjang bulan Disember ini, namun disebabkan ingin sekali berkongsi sebuah lagi hasil karya salah seorang penulis yang saya suka, Mazni Aznita, saya ingin berkongsikan sedikit apa yang saya telah baca. Rasa tidak sabar untuk mendapatkan novel ini memang di tahap yang paling tinggi selepas mendapat tahu dalam masa yang singkat sudah masuk cetakan ke-2.
Bagi saya, peminat hasil karya Mazni Aznita memang patut dapatkan novel ini.Mungkin bagi sesetengah orang jalan cerita ada sedikit persamaan dengan salah sebuah drama Korea yang pernah ditayangkan. Namun begitu, penulis mempunyai gaya yang tersendiri untuk menyampaikan jalan cerita sehinggakan saya tidak merasa jemu untuk terus membaca sehingga ke penghujungnya. Ditambah pula dengan latar cerita yang banyak berlaku di Paris. Memang bukan satu kerja yang mudah untuk menggambarkan sesuatu tempat yang tidak pernah kita jejaki, namun dengan segala kemudahan yang ada bukan juga mustahil sehingga seolah-olah kita dibawa bersama menyelusuri Sungai Seine dan menikmati pemandangan Kota Paris dari puncak Montmarte.
Pembaca novel-novel penulis Mazni Aznita tentu sudah biasa dengan setiap konflik dan hubungan antara watak-watak yang agak kompleks dalam novel-novel beliau sebelum ini. Begitu juga di dalam novel ini tidak ketinggalan konflik dan hubungan watak antara satu sama lain juga tidak dapat diramalkan sehingga kita membaca ke penghujungnya. Penuh dengan rahsia yang akan hanya terbongkar di penghujung cerita.Pengolahan konflik yang begitu kemas dan teliti oleh penulis sehingga kita tidak tertanya-tanya akan kelogikannya.
Apa yang menarik juga, watak-watak yang hadir di dalam novel ini semuanya tidak menjemukan. Watak Tia Adila yang laksana watak Cinderella walaupun dia tidak memerlukan kasut kaca untuk melayakkannya bersama putera raja. Tengku Rafique yang mempunyai segalanya kecuali ibu( telah meninggal dunia) dan ayah yang wujud tetapi seperti orang asing.Watak hitam, Tengku Adrian yang kacak tetapi mempunyai hati yang hitam.
Apa yang penting, penggunaan bahasa Perancis dalam novel ini memang menarik, logik (kerana cerita berlatar-belakangkan Paris) dan langsung tidak mengganggu pembacaan. Tahniah untuk penulis.
---
Anita Sang
Dec 19, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment