Dec 21, 2011

Ati : Cabaran 50 Buku : (1) To Kill A Mockingbird


Tajuk: To Kill A Mockingbird (Enggang Lalu Ranting Patah)
Penerbit: J. B. Lippincott & Cott
Tahun terbitan: 1960


“Kau tidak akan pernah bisa memahami seseorang hingga kau melihat segala dari sudut pandangnya... hingga kau menyusup ke balik kulitnya dan menjalani hidup dengan caranya”

Membaca tajuknya, pembaca boleh mengagak betapa rapuhnya sebatang ranting sehingga enggang yang berterbangan menjadi sebab gugurnya ia ke bumi. Dengan kata lain, sekecil-kecil sebab boleh meninggalkan sebesar-besar akibat. Walaubagaimanapun, setelah ditelusuri jauh ke dalam novel yang diterbitkan pada tahun 1960 ini, penulis membawa kita ke dunia yang kita sangka cerah semata.

Di dunia inilah kita temui betapa jijiknya seorang bapa yang menggunakan anaknya sendiri untuk memuaskan nafsu binatangnya, betapa hinanya seorang berkulit hitam pada pandangan matanya, betapa beratnya amanah yang dipikul oleh seorang hamba, betapa naifnya kanak-kanak dalam menilai sebuah cinta antara mereka, betapa sabarnya seorang bapa melayan kerenah anak-anaknya, betapa besarnya harga kasih dan cinta, juga betapa besarnya kasih seorang abang terhadap adiknya. Secara keseluruhannya, penulis membenarkan ungkapan ‘rambut sama hitam, hati siapa tahu’.

Secara peribadinya, saya mencadangkan novel ini sebagai salah satu karya yang harus dibaca dan dimiliki. Dengan gaya bahasa dan istilah-istilah yang mudah difahami, penulis sangat kreatif mengadun elemen-elemen yang mampu memikat hati pembaca. Walaupun novel ini berkisarkan ketidaksamaan antara kaum, plot ceritanya tidaklah terlalu berat dihadam dengan wujudnya unsur-unsur lucu yang diselitkan oleh penulis.

Satu perkara yang menarik perhatian tentang novel ini ialah penulis membawa kita memandang hidup yang penuh pancaroba inimenggunakan kaca mata kanak-kanak yang berumur sembilan tahun. Saya kira perkara ini sangat jarang kita temui dalam tulisan-tulisan yang kini bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak hairanlah jika buku ini diterjemahkan kepada beberapa bahasa termasuk Bahasa Malayu.

---
Atikah Sharikh

2 comments:

HUD AIKARA said...

kalau tak silap penulis buku ini merupakan kenalan rapat kepada Truman Capote yang terkenal dengan buku 'in cold blood' kan? Rasanya dengan novel nilah Harper Lee menang anugerah Pulitzer. Nak carilah novel ni!

Mina said...

Saya sedang mencari buku ini!!