Dec 31, 2011
Aimie:Cabaran 50 Buku: (84) Semarak Cinta
Penulis: Hijratul Akiya
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
ISBN 978-967-5067-85-3
Harga: RM20.00 / RM23.00
M/S: 561
Cetakan 2 – November 2011
Mampukah aku melupakanmu tika hati dikabus rindu…
mampukah aku melepaskanmu di kala jiwa terpaut sayang…
perlukah aku melangkah pergi bila cinta mulai bersemi?
Blurb:
Apalah erti sebuah cinta andai ianya mengundang kecewa berpanjangan. Adi Hamidi seorang lelaki yang pernah dikecewakan oleh Azlin wanita yang disayanginya ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi menjadikannya seorang kasonava. Lantas, dia menganggap cinta suci seorang wanita langsung tidak wujud. Teman-teman wanita hanya dijadikan teman bersosial sehinggalah dia digelar ‘Buaya Darat Terlaris’. Kapten Mohamad ayah kepada Adi Hamidi terpaksa masuk campur apabila mengetahui sikap anaknya. Kapten Mohamad membuat keputusan untuk mengatur perkahwinan Adi Hamidi dengan anak rakan baiknya yang telah lama terpisah. Demi menjaga hati dan mendapatkan semula kepercayaan daripada ayah dan keluarganya, Adi Hamidi menerima pernikahan itu.
Atas perkahwinan itu juga ada hati yang terluka, kasih yang tersemat di dalam hati bertahun lamanya memakan diri sendiri.
Mampukah Nur Alia mengubah sikap suaminya, walau segunung cinta dipertaruhkan dalam melayari alam rumah tangga? Atau mungkin dia tertewas oleh perasaan kasihnya yang tidak bertepi.
Kak Chik menukil:
Adi Hamidi dan Nur Alia menerima aturan pernikahan yang ditentukan oleh orang tua mereka kerana masing-masing tidak mahu menghampakan keluarga. Bagi Adi Hamidi gelaran yang disandang dan diketahui oleh ayahnya telah ‘menjatuhkan’ sahamnya di mata ibu dan ayah. Dia malu sendiri kerana tidak pernah disangka ayahnya mengetahui perkara itu. Demi untuk menutup kesalahan dan juga kerana mahu membersihkan nama, dia dalam paksa rela menerima wanita pilihan orang tua. Walaupun begitu padanya cinta sejati seorang wanita tidak pernah wujud selepas kekecewaan yang dialami dulu.
Bagi Nur Alia pula, pilihan orang tua sudah pasti yang terbaik baginya. Mana ada orang tua akan memilih lelaki yang tidak baik untuk anak gadis sendiri. Kerana keyakinan itu dan apatah lagi dia yang tidak pernah memberi hati kepada seorang lelaki dengan hati terbuka menerima bakal suami pilihan keluarga walaupun dia pernah diberi amaran oleh lelaki itu bahawa dia akan menerima padahnya jika pernikahan mereka diteruskan. Segala walang di hati dihurung sendiri kerana baginya rahsia rumah tangga tidak pernah sekali perlu dikongsi dengan orang luar waima orang tua sendiri. Dia berusaha untuk membina rumahtangganya walaupun secara terangan si teruna menolak kasih yang dihulurkan. Padanya kasih seorang wanita bergelar isteri hanya untuk si suami.
Kerana rapuhnya kasih mereka yang baru bertunas dan sikap tidak berterus terang telah menjadi gelora yang menghempas bahtera mereka. Sikap ego Adi Hamidi dan beralah Nur Alia telah menjadi duri kepada rumahtangga yang bari dibina. Mampukah Adi Hamidi menakluk kembali hati si isteri yang terluka kerana tuduhan yang tidak berasas atau bertahankah Nur Alia dengan segala dugaan yang melanda? Apakah rahsia itu tetap menjadi rahsia?
Sudut pandang KakChik:
Sebuah lagi karya berkisar kahwin paksa yang berjaya KakChik khatam…hikhikhik. Memang secara automatik kalau baca kisah kahwin paksa ini mesti ada penolakan antara pasangan. Namun begitu hasil tulisan penulis ini lebih memberi penekanan kepada nilai kekeluargaan. Hubungan kekeluargaan yang kuat menjadi nadi kepada perjalanan cerita ini.
Pada KakChik gelaran yang disandang oleh Adi Hamidi adalah tidak terlalu menonjol sehingga menjadi isu besar dalam karya ini. Tetapi perhubungannya dengan teman-teman wanita yang ditonjolkan hanyalah Mimie kerana Mimie secara tidak langsung menjadi musuh kepada Nur Alia walaupun mereka saling tidak mengenali.
Terdapat juga plot yang bagaikan melompat-lompat yang kadang-kala sedikit mengganggu penghayatan selain tanda bacaan yang pada KakChik terlalu banyak yang tidak diletakkan. Selain itu KakChik kecewa kerana watak Ely ‘dimatikan’ tanpa menerima sebarang pembalasan sedangkan dia adalah dalang segala permasalahan dan juga senangnya Adi Hamidi menerima hukuman tanpa berusaha membela diri. Walaupun begitu karya ini tetap mampu menarik hati untuk dibaca kerana diselitkan dengan jenaka spontan yang mencuit hati.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment