Dec 28, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (35) : Nota jutawan Nota Motivasi


Tajuk Buku : Nota Jutawan Nota Motivasi
Penulis : Irfan Khairi
Terbitan : Telaga Biru Sdn. Bhd
Muka Surat : 132

Ulasan

Buku ini salah satu buku motivasi untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Penulis yang merupakan seorang jutawan muda ini ingin berkongsi ilmu dan pengalaman kejayaannya dengan pembaca. Pelbagai tips dan kaedah kejayaan dimuatkan dalam buku ini. Pembaca boleh menggunakan kaedah-kaedah ini untuk meniti tangga kejayaan demi kejayaan. Penulis juga menyelitkan contoh-contoh ikon yang telah berjaya seperti Nicole Ann David, Jackie Chan dan Lance Armstrong. Penulis bukan sahaja memaparkan kejayaan mereka semata-mata tetapi penulis lebih menekankan atas kesungguhan dan cara mereka untuk mencapai kejayaan itu agar pembaca dapat membuka mata bahawa untuk mencapai kejayaan haruslah berkorban dan bersabar.

Buku ini dihiasi dengan gambar-gambar, warna-warni dan kata-kata semangat bagi menaikkan semangat pembaca untuk mencapai impian dan kejayaan dalam kehidupan tanpa rasa jemu dan putus asa. Dr. Irfan Khairi menggunakan ayat dan perkataan yang pendek, ringkas dan padat serta menarik dalam tulisan beliau. Selain itu, beliau juga menggunakan kaedah point bagi menarik minat dan memudahkan pembaca membaca dan memahaminya.

Ilmu yang terdapat didalam buku ini dapatlah dimanfaatkan oleh pembaca dalam kehidupan agar bersama-sama mencapai kejayaan. Dengan membaca buku ini, saya merasakan kejayaan itu bukan sukar untuk dicapai hanya perlukan kesabaran dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu, maka kejayaan pasti akan berada digenggaman. Percayalah!

Sesiapa yang ingin mencapai kejayaan, bacalah buku ini! Anda semakin menghampiri KEJAYAAN!


Kata-kata Semangat Pilihan

“Jangan takut KEGAGALAN kerana takut kegagalan bermakna MENGHINDARI KEJAYAAN.”

“KEJAYAAN mengajar kita KEKUATAN. Takut kepada kegagalan mengajar kita untuk TERUS GAGAL.”

“Pilihlah untuk melihat perkara yang BERMANFAAT dan bukannya perkara yang MERUGIKAN.”

“Merancang MASA bermakna merancang KEJAYAAN.”

“Kelilingidiri anda dengan ORANG YANG HEBAT dan anda juga akan MENJADI HEBAT.”

“Memiliki ILMU sahaja bukanlah kekuatan tetapi ilmu yang DIPRAKTIKKAN dan DIAPLIKASIKAN adalah kekuatan.”


Kulit Belakang Buku

Menjadi seorang jutawan merupakan impian semua orang. Membaca pengalaman seorang yang telah mencapai taraf jutawan ialah tindakan yang paling wajar.

Buku ini bukan tentang internet. Dr Irfan berkata, dia merancang untuk menjadi jutawan ketika berusia 18 tahun. Tiga tahun kemudian, barulah beliau berjumpa dengan perniagaan yang kebetulan melalui internet. Katanya lagi, “Sesiapa sahaja boleh menjadi jutawan.” Anda juga. Anda boleh menjadi jutawan dalam bidang yang anda ceburi sekarang! Bagaimana? Buku penuh warna-warni ini member senarai panduan dalam bentuk yang paling mudah berserta ilustrasi menarik.

---
Nur Amalina

0 comments: