Dec 23, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (25) Bening Merah Jingga


Judul : Bening Merah Jingga
Penulis : Nazurah Aishah
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 544 m/s
ISBN : 978-967-5118-01-2
Cetakan ketiga Jun 2010

Kulit belakang novel :

Benarkah Ellina dilahirkan tanpa ayah?
Gadis itu menghadapi pelbagai dugaan dalam hidupnya. Setiap detik nafas cintanya didatangi pelbagai cabaran hanya kerana status dirinya. Ehsanlah sentiasa menyokong dan membelanya tiap kali Ellina dihina dan dicerca.

Jadi dengan siapakah Elly akan bahagia kalau bukan dengan Ehsan, mama?

Tetapi... bagaimana mereka dapat bersama jika ayah Ehsan bukan setakat membencinya, malah memusuhinya terus-menerus. Apakah masih ada ruang dalam hatinya untuk lelaki lain? Wajarkah diberi sedikit hatinya yang sudah terluka itu pada Hannan Fakhri untuk dirawat sampai sembuh atau berikan sahaja pada Shahrul yang sudah berjanji mahu susah senang bersama?

Andai benar cinta
cintailah dia dengan hatimu yang tulus
Jika tidak janganlah biarkan dia menantimu
dengan sia-sia!


* * * *

Ini kisah Ellina Azura Abdullah; NAZURAH AISHAH telah mencanai hatinya menjadi wanita kental yang istimewa dalam Bening Merah Jingga.


Bicara Ummu Ammar :

Bingkisan terbaru dari penulis Nazurah Aishah kali ini mempunyai kelainan dari segi plot ceritanya berbanding dengan novel-novelnya sebelum ini. Penulis menulis dengan penuh rasa realistik. Namun, karya Naz tidak pernah jauh dari airmata menandakan hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan bergembira senantiasa. Tidak semua yang kita inginkan akan kita capai.

Ellina Azura Abdullah – Anak angkat kepada pasangan Hajah Maisarah dan Haji Idris. Namun seringkali status nya diragui oleh ayah angkatnya itu. Katanya, Ellina tu anak luar nikah! Dek kerana itu, ada saja perbuatan Ellina yang tidak kena pada matanya. Dia benar-benar terluka dengan sikap ayahnya itu. Ellina, bekerja di sebuah hotel. Dia wanita biasa-biasa aja. Dia belum lagi memegang title muslimah sejati. Dia tidak bertudung, pendek kata, dia belum menutup auratnya dengan sempurna. Suatu hari nanti..? InsyaAllah. Dia punya sekeping hati, dan hati itu diserahkan sepenuhnya buat Ehsan, kekasih hatinya merangkap abang angkatnya. Cintanya pada Ehsan hanya Tuhan yang tahu bertapa dalamnya rasa itu. Dia menganyam impian, dia mahu terus hidup bersama kekasih hatinya itu – selamanya. Haji Idris? Haruslah tidak bersetuju atas alasan status Ellina yang diragui. Dan Ellina… harus pergi mencari kenyataan sebenar berkenaan dengan status hidupnya. Tidak mahu lagi maruahnya dipijak-pijak oleh sesiapun terutamanya Haji Idris.

Ehsan Haji Idris – Lelaki romantis yang sangat sayangkan kekasihnya. Dia senantiasa di sisi Ellina, dalam tawa dan saat berduka Ellina. Sakit Ellina, terlukalah dia. Dia pembela, saat Ellina dicemuh ayahnya, dia penyejuk hati penawar duka saat Ellina sudah tidak mampu membendung rasa sakit kerana dilukai. Tulusnya cinta dia. Kesukaan Ellina semuanya dalam pengetahuannya. Dan dia sedaya upaya memenuhi kehendak Ellina semata-mata ingin melihat ratu hatinya gembira. Dia mengatur segalanya…untuk berkahwin dengan Ellina walau dia sedar hal itu sememangnya akan mendapat tentangan hebat dari ayahnya. Tika dia merasakan kekecewaan kerana Ellina tidak turut serta mempertahankan cinta mereka, dia nekad menjauhkan diri. Egonya memuncak. Dia terima saja cadangan ayah untuk bertunang dengan Aqilah. Kata ayah, Aqilah contoh muslimah sejati. Tindakan itu tidak lain tidak bukan, hanya untuk membuat Elli rasa tergugat. Sesungguhnya dia telah salah tingkah. Ya, dia menyesal. Hatinya tersayat pilu saat melihat Elli dinikahkan bukan dengannya. Dia rasa macam nak mati. Kisah cinta Ehsan ditamatkan sebegitu. Ehsan meninggal. Cintanya dibawa hingga ke liang lahad. Semestinya, watak Ehsan senantiasa ‘hidup’ dalam hati-hati pembacanya.

Ellina Azura dan Hannan Fakhri – perkenalan yang telah sekian lama antara keduanya tetapi tidak diendahkan oleh Ellina kerana dia hanya Nampak Ehsan nya sahaja. Hannan, lelaki korporat yang punya syarikat sendiri dalam usia yang muda. Dia ayah yang penyayang buat sang anak – Faye Nasuha. Kesudian, kemesraan dan keserasian antara Faye dan Ellina membuatkan Hannan tekad untuk menyunting bunga di taman. Pada Ellina, tidak salah memberi hati sekali lagi untuk dicintai. Cinta itu mampu dipupuk dan dibaja, moga senantiasa mekar di jiwa keduanya, Hannan dan Ellina. Janji Hannan, dia tidak dapat berjanji untuk membahagiakan Ellina, tetapi dia berjanji untuk sedaya upaya lakukan yang terbaik untuk rumahtangganya itu. Dia ingin menebus kembali kesalahan dan kesilapan nya pada perkahwinan yang lepas. Ellina, terima kasih atas kesudian menerima Hannan dan Faye dalam hidupmu.

Pernah baca Baju Melayu Hijau Serindit? Terdapat sedikit kesinambungan antara BMJ dan BMHS.

---
Ummu Ammar

0 comments: