Dec 1, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (74) Uda & Dara

Penulis: Aisya Sofea
Penerbit: Alaf 21 (Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd)
ISBN 978-983-124-695-5
Harga: RM22.00 / RM25.00
M/S: 547
Cetakan 1 – 2011

Saat aku membenci dirimu, kau dating untuk memujuk

Blurb:

Sudah sekian lama terpisah kerana masing-masing mengejar cita-cita, tidak mungkin Siti Mariam menerima cinta Izzat Hilman. Kenangan lalu yang sangat menghiris hatinya sentiasa bergentayangan di hadapan mata. Namun, si Uda tidak putus asa. Si Dara harus dimiliki walau apa pun yang terjadi.

Ya, mungkin ada rasa rindu di sebalik rasa bencinya terhadap lelaki itu. Namun, dalam diam, Siti Mariam masih tidak mampu membuang perasaan saying pada Izzat Hilman. Ah, bila memikirkan wasiat arwah ibu lelaki itu, dia jadi nanar. Apatah lagi, kemunculan Khalidah bagai dirancang untuk memisahkan mereka.

Hubungan boleh diteruskan, tetapi Siti Mariam meletakkan syarat. Mereka boleh bersama tetapi bersedia untuk berpisah. Tempoh yang diberi hanya tujuh bulan. Muktamad!

Berat sungguh syarat itu! Namun, si Uda tidak peduli. Si Dara perlu akur cinta sejati mereka. Bagi Izzat Hilman, jodohnya bersama Siti Mariam sangat kuat.

“Abang Cuma minta Mar bagi peluang sekali ini sahaja lagi dan abang takkan sia-siakan Mar.”

Kak Chik menukil:

Tersasar! Itulah yang boleh KakChik rumuskan selepas membaca karya ini. Apa yang tersasar? Ternyata “Uda & Dara” yang tertera pada kulit muka depan karya ini tidak diterjemahkan dalam naskhah ini. Jauh sekali kalau anda ingin bahasa indah yang bersulam haruman kerana ia tidak dijelmakan dalam karya ini. Sejujurnya Kak Chik sedikit terkilan kerana tidak menemui magis dalam karya ini. Dan sudahnya berhari-hari masa diperlukan untuk menamatkan ceritera Siti Mariam dan Izzat Hilman.

Rentak hidup Siti Mariam (yang dibahasakan sebagai kata nama pertama – aku, jadi kita menyusuri kisah ini dari sisi penceritaan Siti Mariam) berubah selepas pertemuan semula dengan Izzat Hilman, lelaki yang pernah dipujanya dahulu. Pertemuan selepas 17 tahun berpisah tapi bila kira semula adalah terlalu mentah ketika Siti Mariam sudah menyimpan rasa hati pada Izzat Hilman. Apatah lagi rajuk dan kecil hati Siti Mariam adalah kerana tajamnya lidah si Uda yang bagaikan meletakkan harga cintanya di hujung kaki.

Siapa yang tidak marah kalau, pada pertemuan itu si Uda meluahkan rasa hati dan melamarnya untuk dijadikan suri. Siti Mariam tidak pernah lupa bahawa lelaki itu sudah ditentukan jodoh oleh ibunya. Kenapa Izzat Hilman masih menagih kasihnya yang sudah tertanam di dasar hati yang paling dalam? Tapi benarkah dia sudah melupakan lelaki pertama yang dia puja?

Kerana desakan Izzat Hilman mereka menjalin hubungan tetapi Siti Mariam sudah meletakkan syarat bahawa perhubungan itu hanya sementara. Rasa tidak logik pula bila ada istilah bercinta tetapi bersedia untuk berpisah. Tetapi peluang Izzat Hilman bagaikan terhidang di depan mata saat abah Siti Mariam yang bertahun menghilangkan diri tanpa kisah akan darah daging sendiri muncul bersama beban yang menyesakkan seluruh keluarga. Dan Izzat Hilman menawarkan bantuan tetapi dengan cagaran yang lain pula diminta. Mampukah Siti Mariam meletakkan kemahuannya di atas berbanding nyawa orang tuanya?

Sesuatu yang buat Kak Chik lelah untuk menyusup masuk ke dalam ruang lingkung Siti Mariam dan Izzat Hilman adalah masalah mereka yang bagaikan selalu menghambat mereka. Apatah lagi kehadiran kakak Izzat Hilman, Kak Yah yang bagaikan sudah terlalu taksub dengan wasiat yang ditinggalkan oleh emaknya. Dia sedaya mungkin untuk menyatukan Izzat Hilman dan Khalidah sehingga dia bagaikan sudah tidak peduli pada rasa bahagia adik sendiri. Kak Yah adalah satu watak antagonis yang memang buat Kak Chik menyampah sungguh! Dia sanggup terbang dari Labuan semata-mata untuk mengacau rumah tangga adiknya sehingga nyawa anak sendiri sudah di hujung tanduk pun dia masih sibuk mahu meruntuhkan masjid adik sendiri.

Karya yang ada sesuatu yang boleh dijadikan teladan tetapi sedikit berjela-jela buat Kak Chik bosan untuk menemui jalan penamat.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: